Sudi-sudilah klik kat sini

Ahad, Mei 31, 2009

Manusia Berperasaan dan Produk Yang Berkualiti ...

"Semakin Hari Semakin Sayang" itulah tema Kementerian Kesihatan, ada juga tema "Keluarga Diutamakan" yang ini aku tak ingat Kementerian Mana. Apa yang penting ialah keluarga perlu diutamakan. Jika keluarga terutamanya anak-akan kita bahagia, sihat dan penuh kasih sayang kita akan bekerja dengan baik. Bayangkan jika seorang pekerja yang asyik memikirkan bagaimana anaknya nak pergi sekolah atau anak masih menunggu di sekolah walaupun dah habis waktu belajar nak jemput tak boleh sebab pintu pagar tempat kerja berkunci dan sebagainya, situasi begini dah jadi kes teruk.

Waktu cuti sekolah adalah waktu kita nak habiskan masa dengan anak-anak, nak bawa mereka pergi bercuti ataupun nak lapangkan lebih masa dengan mereka. Masa yang amat berharga ini (cuti sekolah) kali ini nampaknya telah dirampas oleh KERJA. Ini boleh diumpamakan seperti sejarah Belanda menyerang dan merampas Tanah Melayu. Apa tidaknya wujudnya semester pendek ini menyebabkan ada orang yang tidak dapat bercuti, bila dah tak boleh bercuti, terabailah anak-anak. Tak boleh le nak bawa pi bercuti yang ada adalah masa-masa terluang seperti biasa, tidak adalah lagi keistimewaan. Apa boleh buat dah kerja dengan orang. Kalau tak ikut, itulah periuk nasi. Nak cari rezeki bukanya mudah. Arahan ketua mesti diikut.

Kekadang ada pihak yang mungkin mereka dah lepas zaman anak-anak pergi ke sekolah, atau dalam bahasa yang mudah anak dah besar, semua dah masuk U atau dah kawin. Mana nak fikirkan lagi masalah seperti ini. Begitulah hidup ini adalah ibarat roda ada ketika kita di bawah ada ketika diatas. Bila la nak dok atas pula?. Jadilah manusia yang berperasaan dan berbelas kasihan.

Khamis, Mei 28, 2009

Manusia Berperasaan dan Produk Yang Berkualiti

Bagi sesebuah kilang yang mengeluarkan produk sudah pasti akan berusaha untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan tiada pembaziran. Sebab itulah ada kilang yang menggamalkan kosep "zero defect". Dengan konsep ini setiap produk yang dihasilkan tidak akan ada kecacatan langsung, semua keluaran pasti akan dapat dipasarkan atau dijual. Konsep ini juga sepatutnya diamalkan di tempat aku bekerja.

Tempat aku bekerja mengeluarkan tenaga kerja separa mahir, bukannya barangan. Tenaga mahir yang dihasilkan disini juga seboleh-bolehnya seperti barangan yang dihasilkan. Maksudnya mereka ini haruslah tip top. Hantar saja kat mana pun boleh terus bekerja bermula dari hari mendaftar diri, tidak perlu lagi bertanya atau "kena belajar lagi". Maaf le aku bukan nak samakan manusia dengan barangan, tetapi aku nak bayangkan yang apa yang cuba kami hasilkan disini adalah tenaga kerja yang memang berkualiti. Bak kata pepatah melayu, "campak ke laut menjadi pulau, campak ke darat menjadi bukit".

Tetapi kekadang usaha murni yang hendak dicapai akan menghadapi kekangan yang membuatkan kita menjadi kecewa. Ialah, apa tidaknya, kita berhadapan dengan manusia. Bayangkanlah masa yang sepatutnya diambil selama 13 minggu dipendekkan menjadi 8 minggu sahaja. Cuba bayangkan jika sesuatu produk yang sepatutnya disiapkan dalam 7 hari, mesti disiapkan dalam 4 hari sahaja. Jika tenaga pekerja tidak ditambah malah dikurangkan terpaksalah berkerja 24 jam sehari selama 4 hari tanpa henti, aku ingat robot pun boleh JEM.

Itu dari segi tenaga kerja untuk mengeluarkan produk, bagaimana pula dengan produk yang akan dikeluarkan adakah akan wujud fenomena "asal jadi dah le". Kalau tak salah aku satu ketika dulu Universiti juga telah cuba melaksanakan "third semester" bagi tujuan untuk melahirkan graduan dalam masa yang singkat. Tetapi perkara tak diamalkan lagi dengan alasan masa yang singkat menyebabkan graduan yang keluar tidak berkualiti.

Apa pun yang akan terjadi semua pihak haruslah berfikir secara waras, bagi pihak yang merancang apakah niat mereka, tidakah mereka terfikir banyak-banyak, kesan, akibat dan hasil yang akan dicapai. Tercapaikah usaha kita untuk menghasilkan "pekerja minda kelas pertama" atau "kelas yang terbawah" yang akan ada nanti di pasaran. Kekadang kita berselindung disebalik lidah tajam yang pandai bermain kata, kononya untuk membantu pihak yang memerlukan walaupun hakikatnya hati dan fikiran memanglah tidak dapat dilihat orang lain.

Rabu, Mei 27, 2009

Kisah Lama

Teringat tentang kisah lama yang terjadi pada diri aku beberapa tahun yang lepas. Masa itu aku berkursus di bandar Kota Bharu, Kelantan. Biasalah zaman sekarang kalau kursus mesti kat Hotel. Hotel yang kami menginap tu terletak ditengah-tengah bandar Kota Bharu. Kisahnya bermula begini, pada satu pagi aku teringin nak minum di luar daripada tempat kursus (minum kat gerai). Jadi dalam pukul sepuluh pagi time rehat aku pun mulalah mencari gerai untuk menikmati kudapan yang lain sedikit dari yang disediakan oleh hotel.

Selepas berjalan dalam 1 kilometer terjumpalah satu kedai yang menjual roti tempayan, kalau tak salah kedai ini di belakang Hospital. Aku pun duduk dan memesan sekeping roti dan minuman. Kakak yang menjual roti tu tanya nak kuah apa. Aku tanya ada kuah apa? katanya ada daging kijang dan ayam. Wah hebat sungguh kedai ini ada daging kijang. Aku kata bagi satu le kuah daging kijang tu. Merasa juga aku makan daging kijang hari ini.

Sambil menjamah roti tempayan dicicah dengan daging kijang, aku mula terfikir nanti balik boleh le bagitau kawan-kawan yang lain bahawa hari ni aku telah merasa daging kijang. Mesti bangga dapat rasa daging kijang di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Habis makan akupun bayar, semuanya tak sampai pun RM5.00, murah juga makanan kat negeri Kelantan ni. Aku terfikir mungkin juga daging ini di Import dari Thailand kot. Memang ramai sebelum ni menyatakan yang harga barangan kat sini murah. Aku pun segeralah beredar dan tidak sabar untuk mewar-warkan kepada kekawan yang lain untuk segera menyerbu kedai special yang menjual roti tempayan dan daging kijang.

Bila je sampai semula ke tempat berkursus (hotel) aku pun segeralah menyampaikan berita gembira kepada kekawan yang lain dengan penuh megah dan bangga sekali yang aku hari ini merasa daging kijang. Setelah menerangkan lokasi kedai berkenaan dengan lakaran pelan agar tidak ada yang sesat dan kempunan merasa daging kijang. Ramailah diantara kekawan yang bersetuju untuk bergerak kesana pada masa makan tengahari nanti, lagipun makanan kat hotel sama saja menunya setiap hari.

Pukul dua petang bila nak mula sesi petang datang beberapa orang kawan menyerbu aku dengan muka yang marah ada yang ketawa pun ada. "Woi!!! Taher bukan daging kijang lah, itu daging cincang. Rupa-rupanya kakak tu tadi sebut daging cincang dalam loghat kelantan dan aku ingatkan daging kijang. Bunyinya hampir sama.

Itulah satu pengalaman yang dapat aku kongsikan. Apa yang aku pelajari dari pengalaman ini ialah kita hendaklah menjadi seorang pendengar yang baik. Terutama sekali dalam tugas akusebagai seorang pengajar aku harus mendengar apa yang diperkatakan oleh pelajar sehingga habis barulah boleh aku memberikan cadangan ataupun apa-apa keputusan kepada mereka. Kita tidak boleh anggap kita tahu semuanya, bila pelajar datang menceritkan masalah atau apa-apa sahaja perkara, dengar dahulu hingga habis apa yang diperkatakan, jangan terus potong saja dan kata "oo saya tau tu".

Sabtu, Mei 23, 2009

Berapakah Simpanan Wang Anda Sebulan ????

Hari ini kita akan memeperkatakan tentang berapa peratuskah dari pendapatan yang perolehi setiap bulan sempat disimpan sebagai kegunaam untuk masa depan atau dimasa kecemasan. Cuba kita renungkan sejenak. Adakah semua wang yang diperolehi setiap bulan akan dibelanjakan bagi membayar bil-bil, hutang, membeli pakaian dan makan. Tida ada satu sen pun yang sempat kita simpan. Kalau disimpanpun hanya untuk beberapa bulan sahaja atau diistilahkan "akan dikorek/gali bila sesak". Adakah kita akan sesak setiap hujung bulan.

Kita harus mengenepikan sejumlah wang sebagai simpanan yang kekal dan tidak mengusik simpanan ini walau apapun berlaku. Jika ini dapat diamalkan barulah kita akan dikategorikan sebagai seorang yang dapat mendisiplinkan diri dalam meyimpan wang. Adakah kita dapat mendisiplinkan diri kita dalam menyimpan wang?. Tanya diri sendiri dan kaji corak penyimpanan dan perbelanjaan sendiri.

Insuran atau Takaful (takaful patut menjadi pilihan kerana halal) adalah satu kaedah penyimpanan yang paling sesuai bagi yang ingin lebih berdisiplin dalam kaedah menyimpan wang untuk masa depan.

Dengan menyertai pelan Etiqa Takaful kita bukan sahaja dapat menyimpan wang untuk masa depan malah mendapat manfaat perlindungan jika berlaku kematian. Dalam bahasa yang mudah, jika kita mati waris akan mendapat pampasan. Ini mungkin dapat meringankan sedikit beban yang akan ditanggung oleh waris kita, terutama jika kita dah ada keluarga. Senang sikit isteri atau suami sekurang-kurangnya beberapa bulan sebelum kedudukan kewangan mereka menjadi stabil selepas ditinggalkan.

Dalam masa yang sama simpanan yang kita buat dalam pelan Etiqa takaful tadi juga merupakan simpanan untuk masa depan. Jika diizinkan Allah umur kita panjang dan telah sampai tempoh matang, segala sumbangan yang dibuat akan dapat kepada kita semuanya termasuk keuntungan sepertimana yang dipersetujui dalam kontrak.

Mungkin kita pernah terbaca dalam lapuran akhbar beberapa minggu yang lepas, mengatakan bahawa ramai diantara kita yang akan sengsara selepas bersara (pencen). Sudah semestinya bermula sahaja bulan pertama kita pencen, pendapatan dah jadi separuh. Kalau bulan sebelum pencen gaji RM3000, bulan depan setelah pencen tinggal RM1500, dan itu mungkin pada 20 atau 25 tahun akan datang masa tu nilai duit mungkin akan menjadi lebih rendah dari sekarag. Adakah kita bersedia untuk mengalami situasi begini.

Fikirkanlah sejenak betapa pentingnya menyertai Skim Etiqa Takaful. Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi saya, bagi mendapatkan cara yang betul untuk menyimpan wang anda dengan selamat.

Mohamad Taher bin Kasa
019-4156019
email: taherkasa@hotmail.com

Selasa, Mei 19, 2009

Peperiksaan Akhir

Selamat menduduki peperiksaan akhir kepada semua pelajar PTSS khususnya dan Pelajar DSK amnya. Semoga anda semua dapat mejawab segala soalan yang dikemukakan dengan tenang dan betul. Memang menjadi adat belajar setelah berhempas pulas mentelaah pelajaran maka peperiksaanlah yang akan menjadi kayu pengukur tahap pencapaian anda semua. Kalau belajar dengan betul, gigih, sabar, tekun dan disertakan dengan doa yang tulus kepada yang Maha Esa, InsyaAllah akan beroleh hasil yang diharapkan. Saya doakan semoga anda semua akan berjaya. Ingat jangan guna kaedah "TOYOL" tak berkat, silap-silap kantoi dengan pengawas boleh GB (Good Bye).

Masa 2 jam dalam dewan peperiksaan amat penting dan bermakna sekali, segala tumpuan mestilah diberikan sepenuhnya kepada menjawab soalan, diharap tidak ada gangguan dari persekitaran seperti bunyi bising mesin rumput, bunyi tapak kaki orang berjalan, bunyi orang bersembang dan gangguan lain yang boleh membuatkan formula atau ingatan yang disimpan dalam memori boleh hilang.

Kepada rakan-rakan harap dapat bekerja dengan penuh dedikasi sebab dalam 2 minggu ini semua orang sibuk menjaga peperiksaan ada yang menjadi pengawas, ada yang nama diatas dan ada dibawah, ada yang menjadi ketua pengawas, dan mungkin juga yang tak jadi apa-apa.. nasiblah. Teringat apa yang disampaikan oleh Pengarah semasa perhimpunan yang akan menjadi kenangan bagi aku, sebab......????

Pengarah mahukan kecemerlangan dalam kerja, kerja mesti lebih dari masa yang ditetapkan. Perlu peka kepada persekitaran, cuba untuk membezakan dahulu dan sekarang. Dulu aku tak ada PS2 dirumah, sekarang anak aku main PS2 kat rumah, anak yang belum sekolah pun dah pandai main. Dulu susah nak naik pangkat harap-harap sekarang senang sikit naik pangkat. Dulu jawatan tak banyak sekarang banyak kot.

Pemikiran mestilah diluar kotak. Berfikir secara kreatif dan kritis. Ini sesuatu yang bagus ni, aku fikir nak bawa satu extreme game kat PTSS "hang-glidig" a sport in which you fly while hanging from a frame like a large kite which you control with your body movements. Aku rasa sukan ini sesuai kat sini, sukan ini boleh bermula dari atas bukit kat tangki air dan terbang turun hingga ke Ladang Tebu atau mana-mana saja nak landing. Apa macam canggih tak idea aku. Harap-harap lepas ini ada orang yang akan memajukan sukan ini, lepas tu baru la ramai orang datang kat ULU PAUH ni sebab nak cuba sukan yang extreme. Pauh Inn ada untuk penginapan.

Banyak lagi yang diperkatakan oleh BOSS seperti Keceriaan, Kerja Berpasukan, Tepati Masa dan Hadir Mesyuarat atau perjumpaan bagi mendapatkan info terkini. Aku rasa semua yang diperkatakan oleh Boss ini adalah sikap atau perkara yang perlu, mesti atau wajib ada pada semua orang. Ah.. tak perlu cakap banyaklah semua orang tau punya. Cakap banyak nanti kata nak bodek pula. Bodek tak main la.

Lepas minggu peperiksaan maka kita semua akan sibuk pula dengan menanda kertas peperiksaan. Kalau dulu lepas habis je minggu peperiksaan maka semua orang akan sibuk bercuti, nampaknya tahun ini tak perlulah berangan nak cuti panjang sebab cuti aku telah dirampas oleh pihak yang lebih berkuasa. Yang tinggal hanya cuti 30 hari sahaja setahun itu pun diistilahkan sebagai keistimewaan sahaja dan bukanya hak, Boss boleh tarik bila-bila masa sahaja jika dia mau. Padan muka aku., apa boleh buat kekadang kita terpaksa lepaskan satu perkara jika mahukan satu perkara yang lain, mana boleh dapat kedua-duanya. Memang dah menjadi adat. Lagipun aku dah lama juga jadi cikgu ni dah lebih 10 tahun dah, dah puas cuti panjang. (cakap untuk menyedapakan hati sendiri).

CUTI!!! 30 Mei hingga 13 Jun cuti sekolah, emmm elok juga kalau minta cuti masa tu. Esok boleh isi borang cuti, harap-harap Boss luluskan. Apapun .. Keluarga Perlu Diutamakan....